PENGENALAN
Proses pengajaran dan pembelajaran ini merupakan suatu elemen yang sangat penting dalam memastikan para pelajar dapat mengikuti isi kandungan setiap mata pelajaran yang disampaikan oleh guru. Sharifah Alwiah Alsagoff mengatakan bahawa kaedah mengajar ialah peredaran ke arah satu tujuan pengajaran yang telah dirancangkan dengan teratur manakala Hassan Langgulung pula mengatakan bahawa kaedah itu sebenarnya bermaksud jalan untuk mencapai tujuan.1 Maka dapat disimpulkan bahawa apa sahaja cara yang digunakan oleh guru untuk memberi fahaman kepada pelajarnya bagi mencapai objektif pelajaran itu dipanggil kaedah.
Kaedah pengajaran yang baik ialah kaedah yang mengandungi langkah-langkah dan strategi yang tersusun serta objektif yang tepat dan boleh dicapai. Kaedah mengajar bukanlah tujuan utama pengajaran tetapi ia merupakan satu jalan untuk mencapai objektif pengajaran. Berdasarkan kepada ini, bermaksud tiada satu pun kaedah yang terbaik untuk semua mata pelajaran bagi semua pelajar dalam semua keadaan. Lazimnya, kaedah pengajaran dan pembelajaran perlulah berubah mengikut keadaan masa, tempat dan pelajar.2
SM St Patrick Membakut merupakan salah sebuah sekolah yang telah mengalami perubahan dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran sepanjang tahun 1967 hingga tahun 2015 impak daripada peredaran masa ke arah zaman modenisasi yang mendesak masyarakat menekankan penggunaan alatan sains dan teknologi dengan lebih mendalam. Kerkebolehan dalam penggunaan teknologi telah menjadi salah satu kelayakan untuk mendapatkan pekerjaan.
ISI
Sejarah SM St. Patrick, Membakut
Sejarah Sekolah Menengah Saint Patrick Membakut bermula pada tahun 1967 di mana pelajar-pelajar telah memulakan persekolahan menengah mereka apabila kelas peralihan dan tingkatan satu dimulakan.3 Rev. Fr. P. J. de Wit telah menjadi pengetua yang pertama di SM St. Patrick Membakut. Pada tahun 1968, Jabatan Pendidikan Sabah telah menghantar guru-guru tempatan di samping guru-guru dari India untuk mengajar mata pelajaran Sains, Matematik, dan Bahasa Inggeris.4 Pada tahun 1969, tingkatan tiga yang pertama diadakan di sekolah ini dengan bilangan murid seramai 25 orang. Buat julung kalinya peperiksaan Junior Certificate of Education diadakan di sekolah ini. Para pelajar telah menduduki peperiksaan Junior Certificate of Education ini pada hujung tahun yang sama.5 Rev. Fr. P. J. De Wit telah menjadi pengetua di SM St. Patrick Membakut selama enam tahun iaitu dari 1967 hingga 1973. Posisi pengetua ini kemudiannya digantikan dengan Encik Godfrey Daya pada 3 Januari 1973.
Pada tahun 1974, buat julung kalinya Pameran Sains dan Matematik diadakan di sekolah ini. Semua warga sekolah telah melibatkan diri dalam menjayakan Pameran Sains dan Matematik. Aktiviti tersebut telah dirasmikan oleh YB Datuk Fadzil Wong Fook Siang yang merupakan Pembantu Menteri Kewangan pada waktu itu.6 Kejayaan sekolah menganjurkan pameran ini dapat membuktikan bahawa SM St Patrick Membakut telah mula mengalami perubahan dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran. Walau bagaimanapun, alatan sains dan teknologi yang digunakan tidaklah secanggih zaman sekarang. Tambahan pula, prasarana yang sedia ada juga masih dalam kuantiti yang sedikit. Hal ini dikatakan demikian kerana sekolah tidak mempunyai kewangan yang mencukupi untuk membeli alatan sains dan teknologi yang canggih bagi membantu para pendidik dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Pada Disember 1994, bangunan baru SM St Patrick telah siap dibina dan para pelajar telah berpindah ke bangunan baru sekolah pada 9 Januari 1995. Bangunan kantin sekolah, rumah guru, pusat sumber dan dewan sekolah turut dibina pada tahun yang sama.7 Kemudian, kelas tingkatan empat bagi aliran sastera sahaja telah dibuka secara rasminya. Bilik Komputer Sekolah juga telah diwujudkan bagi membolehkan pelajar mempelajari kemahiran-kemahiran penggunaan komputer sewaktu Encik Edward M. Hunggim dilantik sebagai pengetua ke-6, iaitu pada tahun 1997.8 Kewujudan bilik komputer ini telah mula membawa perubahan kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan guru-guru. Para pendidik di SM St Patrick Membakut mula menggunakan alatan sains dan teknologi seperti Overhead Projector dan komputer dalam pengajaran dengan membawa para pelajar ke Bilik Komputer Sekolah.
Penggunaan alatan sains dan teknologi dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran ini mula tersebar dengan meluas. Keadaan ini telah membawa kepada pembukaan kelas aliran sains untuk menengah atas serta pembinaan dua makmal sains pada tahun 2002.9 Pencapaian SM St Patrick Membakut dalam membina makmal sains ini membolehkan pelajar aliran sains untuk memahami subjek yang mereka pelajari dengan lebih mendalam lagi di mana para pelajar dapat menggunakan alatan sains dan teknologi seperti mikroskop dan termometer untuk melakukan uji kaji mereka. Sehingga ke hari ini, SM St. Patrick telah dinaung sebanyak sembilan orang.
Penggunaan Alatan Sains dan Teknologi Dalam Pengajaran-Pembelajaran
Berdasarkan maklumat daripada Encik Marinus Lojikip, kaedah pengajaran dan pembelajaran yang digunakan oleh warga pendidik SM St Patrick Membakut pada sekitar tahun 1967 adalah kaedah chalk and talk.10 Kaedah ini merupakan cara pengajaran utama yang digunakan oleh guru-guru kerana ini dapat mengatasi bilangan pelajar yang ramai dalam satu kelas dan masalah menghabiskan sukatan pelajaran. Secara lebih mendalam lagi, kaedah chalk and talk ini dikonsepkan sebagai kaedah pengajaran yang lebih memusatkan guru dan bukannya pelajar di mana guru-guru menggunakan kapur atau penanda kering pada papan hitam serta bergantung kepada penggunaan buku teks seratus peratus dalam pengajaran dan pembelajaran.11 Seperti konsepnya, warga pendidik SM St Patrick Membakut menggunakan buku teks seratus peratus dalam mendidik pelajar-pelajarnya.
Guru-guru hanya menyalin nota pada papan hitam dan pelajar akan menyalinnya kembali di dalam buku nota mereka. Sememangnya kaedah chalk and talk ini menyebabkan penglibatan para pelajar terbatas dan pasif kerana kebanyakan pelajar yang hadir ke kelas tidak membuat persediaan yang lengkap di samping kurangnya aktiviti perbincangan dilakukan sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung terutamanya bagi subjek Sains di mana para pelajarnya hanya belajar melalui teori sahaja dan tidak mampu melakukan uji kaji kerana pada waktu itu alatan sains dan teknologi masih belum berkembang dengan meluas tambahan pula sekolah pada waktu itu masih dalam keadaan serba kekurangan sama ada dari segi kewangan mahupun infrastruktur.
Pada tahun 1995, Kementerian Pendidikan telah memperkenalkan program Komputer Dalam Pendidikan dengan memberi penekanan kepada empat mata pelajaran utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.12 Pengenalan program ini telah membawa kepada pembinaan makmal komputer di SM St Patrick Membakut pada tahun 1997. Implikasi daripada pembinaan makmal komputer ini telah membawa kepada perubahan dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran di SM St Patrick Membakut di mana bagi subjek-subjek yang tertentu guru-guru telah membawa para pelajarnya mengunjungi makmal komputer tersebut. Antara subjek tersebut ialah Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Tujuan utama guru membawa pelajar-pelajarnya ke makmal komputer tersebut adalah untuk memudahkan serta membantu mereka untuk mencari maklumat-maklumat yang penting dan berkaitan dengan latihan yang diberikan oleh guru khususnya bagi latihan menulis karangan. Ini dapat dibuktikan dengan penjelasan Puan Zarinah Alisan, iaitu seorang guru bahasa Melayu di SM St Patrick Membakut, beliau mengatakan bahawa pencapaian para pelajar dalam mengarang esei semakin cemerlang selepas menggunakan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran.13
Namun demikian, bilangan komputer yang sedikit amat terhad untuk bilangan pelajar yang ramai. Oleh itu, para guru mengambil inisiatif dengan menggunakan kaedah LCD dalam pengajaran dan pembelajaran bagi mengatasi masalah kekurangan ini pada awal tahun 2000.14 LCD ini merupakan salah satu jenis projektor yang digunakan untuk memaparkan video, gambar, atau data daripada komputer pada sebuah layar atau sesuatu permukaan yang rata.15 Zhao, Hueyshan dan Mishra ada menyatakan bahawa guru menggunakan ICT untuk menghasilkan penyampaian yang lebih menarik serta berkesan, menguruskan pelajar mereka dengan cekap, dan memudahkan komunikasi dengan ibu bapa serta pelajar.16 Jelaslah penggunaan LCD membolehkan para pelajar lebih memahami subjek yang dipelajari dengan lebih mendalam serta pelajar tidak mudah berasa bosan untuk belajar bagi subjek-subjek yang kurang menyeronokkan seperti subjek Sejarah. Tayangan yang dipaparkan melalui LCD ini menyebabkan para pelajar merasai keseronokan dalam belajar kerana pelajar tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada penggunaan buku teks yang membosankan bagi proses pengajaran dan pembelajaran.17
Kajian Ambigapathy dan Suthagar pada 2003 telah membuktikan bahawa guru mempunyai sikap dan persepsi yang positif terhadap penggunaan IT dalam pendidikan, iaitu 76.67% telah bersetuju bahawa ICT merupakan alat bantu mengajar yang efektif.18 Hal ini dikatakan demikian kerana bebanan guru-guru di SM St Patrick Membakut juga dapat dikurangkan melalui kaedah ini disebabkan penyampaian yang dibuat lebih mudah dan cepat kerana mereka hanya perlu menggunakan aplikasi seperti Power Point dalam mengajar anak-anak murid mereka. Bagi subjek Sains pula, pelajar mampu melakukan uji kaji setelah makmal sains dibina pada tahun 2002. Walaupun alatan sains dan teknologi pada waktu itu kurang canggih namun para pelajar dapat belajar ilmu sains dengan lebih mendalam di samping dapat mengasah kemahiran para pelajar dalam penggunaan alatan sains dan teknologi.
Sejajar dengan matlamat kerajaan untuk membangunkan modal insan dan penggunaan Internet, kerajaan telah melancarkan Projek 1BestariNet yang merupakan inisiatif Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dalam menerajui transformasi pendidikan dengan menyediakan teknologi pembelajaran terbaik kepada semua sekolah di Malaysia sama ada di bandar mahupun di luar bandar serta di pedalaman.19 Pelancaran Projek 1BestariNet ini telah membawa kepada pengaksesan Internet 4G di SM St Patrick Membakut serta pengenalan Virtual Learning Environment (VLE) pada awal tahun 2014.20 Frog VLE ini adalah salah satu sistem berasaskan web yang menyerupai dunia pendidikan sebenar dengan mengintegrasikan pendidikan konvensional dalam persekitaran maya.21 Walau bagaimanapun, penggunaannya masih belum meluas dalam proses pengajaran dan pembelajaran pada tahun itu namun para pelajar tetap diberi penggalakkan untuk membuat akaun Frog VLE bagi memudahkan mereka untuk mengakses masuk ke VLE dari rangkaian Yes dengan hanya menggunakan ID log masuk VLE dengan percuma.
Penggunaan Frog VLE ini semakin popular pada tahun 2015 di mana guru-guru disarankan untuk membawa anak-anak murid mereka mengunjungi makmal komputer mengikut jadual yang telah disediakan bagi melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan alatan sains dan teknologi, iaitu penggunaan Teknologi dan Maklumat (TMK) dengan berasaskan Frog VLE. Di makmal komputer, pelajar tidak perlu lagi berkongsi komputer seperti pada awal tahun 1997 hingga akhir tahun 1999. Hal ini dikatakan demikian kerana sekolah telah membekalkan bilangan komputer riba yang mencukupi untuk semua pelajar bagi setiap kelas.
Guru-guru hanya perlu menyuruh para pelajarnya untuk mengakses masuk ke VLE dengan menggunakan ID mereka masing-masing untuk menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui Frog VLE ini, guru-guru di SM St Patrick Membakut boleh mengongsikan maklumat , memberi tugasan, membuat ujian dan menanda tugasan secara maya manakala murid-murid pula boleh menyiapkan kerja rumah dan melihat keputusan mereka melalui Frog VLE. Selain itu, para pelajar juga boleh menanyakan soalan atau berkongsi masalah dengan kaunselor sekolah misalnya tanpa perlu bersemuka secara langsung dengan mereka. Jelasnya, penggunaan Frog VLE sebagai salah satu kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan guru SM St Patrick Membakut telah menarik minat ramai pelajar untuk belajar.
Masalah yang Dihadapi oleh Guru-guru Dalam Menggunakan Alatan Sains dan Teknologi.
Perubahan kaedah pengajaran dan pembelajaran daripada penggunaan kaedah chalk and talk kepada penggunaan ICT sudah tentu akan memberikan cabaran yang baharu kepada golongan guru di Malaysia tidak terkecuali juga warga pendidik di SM St Patrick Membakut. Pendidikan, sekolah dan profesion keguruan di negara ini perlu memain peranan yang lebih ke hadapan bagi membentuk generasi muda yang celik komputer dan dapat merealisasikan dasar dan matlamat negara bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju dalam bidang ICT.
a) Penyalahgunaan Alatan Sains dan Teknologi oleh Pelajar
Hasil daripada temu bual dengan beberapa orang guru, dapat disimpulkan bahawa penggunaan alatan sains dan teknologi seperti komputer atau komputer riba dalam proses pengajaran dan pembelajaran telah mendatangkan masalah kepada para guru. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat segelintir pelajar yang telah menyalahgunakan perkhidmatan Internet 4G yang dibekalkan oleh kerajaan kepada sekolah untuk sesuatu yang tidak mendatangkan apa-apa faedah. Berdasarkan temu bual dengan Puan Evaleen Samamjuis, beliau telah menyatakan bahawa murid lebih cenderung untuk melayari laman-laman sesawang yang menjurus kepada hiburan atau sosial seperti Youtube dan Twitter.22 Tambahan pula proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan berasaskan penggunaan komputer riba maka guru sukar untuk memantau gerak-geri para pelajarnya sama ada mereka benar-benar melakukan tugasan yang diberikan oleh guru melalui Frog VLE ataupun mereka melayari sesuatu yang tidak berkaitan dengan pelajaran.
b) Kekurangan Kemahiran
Penggunaan IT mempunyai hubungan yang signifikan dengan pelbagai kecerdasan atau multiple-intelligence yang mencorakkan budaya pembelajaran yang tidak lagi terikat kepada pembelajaran konvensional. Kecekapan dan kemahiran komputer dalam pembelajaran merupakan satu kebolehan yang dikaitkan dengan kecenderungan, perkembangan kognitif, kreativiti dan inovasi, reka cipta, reka bentuk, visual, pembelajaran maya dan sebagainya.23 Walau bagaimanapun, penggunaan alatan sains dan teknologi di sekolah terutamanya penggunaan Internet atau World Wide Web (www) masih berada dalam peratusan nilai yang rendah. Menurut Puan Evaleen Samamjuis, masih lagi terdapat segelintir warga pendidik di SM St Patrick Membakut termasuklah diri beliau sendiri yang masih berhadapan dengan masalah penggunaan alatan sains dan teknologi lebih-lebih lagi penggunaan ICT sebagai salah satu kaedah pengajaran dan pembelajaran.24 Hal ini dikatakan demikian kerana kurangnya kemahiran guru-guru dalam penggunaan ICT menyebabkan warga pendidik di SM St Patrick Membakut mengalami kesukaran dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran. Guru-guru terpaksa mengambil lebih masa bagi mempelajari dan mengaplikasikan ICT di dalam kelas. Ada sesetengah guru terpaksa mengikuti kursus bagi meningkatkan kemahiran menggunakan ICT dan ada juga yang menggunakan perkhidmatan Google untuk menambahkan pengetahuan tentang penggunaan alatan sains dan teknologi sebagai suatu kaedah pengajaran dan pembelajaran.25
c) Masalah Teknikal
Penggunaan alatan sains dan teknologi sebagai suatu kaedah kaedah pengajaran dan pembelajaran memang sesuatu perkara yang baik namun guru-guru terpaksa menghadapi masalah-masalah yang tidak dapat dijangka semasa penggunaanya. Menurut Puan Dorothy Sinin, beliau dan guru-guru yang lain menghadapi masalah teknikal di mana komputer riba yang digunakan mengalami masalah seperti terkena jangkitan virus.26 Selain itu, alatan sains dan teknologi seperti LCD juga akan tertutup dengan sendirinya sekiranya digunakan untuk tempoh masa yang lama. Putusnya bekalan elektrik secara tiba-tiba juga akan mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran yang sedang berlangsung. Hal ini dikatakan demikian kerana rata-rata penggunaan ICT adalah berasaskan penggunaan elektrik. Jelasnya, masalah-masalah teknikal seperti yang dinyatakan menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran terbantut dan ini telah memberikan bebanan kepada warga pendidik SM St Ptrick Membakut.
d) Kekangan Menghabiskan Silibus
Terdapat juga beberapa guru di SM St Patrick Membakut yang kurang atau tidak menggunakan alatan sains dan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran. Hasil daripada temu bual dengan salah seorang guru, iaitu Encik Emong Angkui yang kurang menggunakan ICT untuk membantu pengajaran dan pembelajaran mereka didapati masalah utama yang dihadapi oleh mereka adalah kekangan untuk menghabiskan silibus.27 Hal ini dikatakan demikian kerana penggunaan internet memakan masa yang lama untuk dilayari dan diakses lebih-lebih lagi apabila perkhidmatan internet pada masa itu lambat walaupun sebenarnya warga pendidik ini bersedia untuk menggunakan komputer dalam pengajaran. Sementara Wiburg, pula mengatakan bahawa untuk membina, membangun, dan mengintegrasi sumber-sumber multimedia agak sukar walaupun mempunyai kemahuan menggunakan teknologi dalam pengajaran, mempunyai kemahiran teknikal tetapi masa dan sumber yang terhad akan terus menjadi penghalang utama dalam dunia digital.28
KESIMPULAN
Penggunaan ICT dalam bidang pendidikan adalah selaras dengan hasrat Malaysia untuk meningkatkan kualiti pendidikan bertaraf dunia. Hal ini dikatakan demikian kerana ICT boleh membangunkan pendidikan pada alaf ke-21 di negara ini menjadi lebih kompetitif dan berdaya saing di peringkat antarabangsa. Profesion guru merupakan salah satu kerjaya yang boleh melahirkan masyarakat yang celik komputer. Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang tradisional perlu diubah untuk disesuaikan dengan peredaran zaman yang mana kaedah pengajaran dan pembelajaran kini lebih kepada alatan sains dan teknologi.
Proses pengajaran dan pembelajaran warga pendidik SM St Patrick Membakut dari tahun 1967-2015 telah berubah seiring dengan perkembangan penggunaan alatan sains dan teknologi dalam pendidikan. Penggunaan ICT ini telah mendedahkan warga pendidik dengan pelbagai cabaran yang baru seperti penyalahgunaan alatan sains dan teknologi oleh pelajar, kekurangan kemahiran, masalah teknikal, dan kekangan menghabiskan silibus. Sungguhpun begitu, proses pengajaran dan pembelajaran berasaskan ICT ini dapat membantu mewujudkan suasana pembelajaran bestari yang menekankan tiga unsur penting iaitu, self access, self paced, dan self directed serta penerapan nilai murni semasa pembelajaran.
NOTA HUJUNG
1Sharifah Alwiah Alsagoff dan Hasan Langgulung, Pengajaran dan Pembelajaran Berbantukan Komputer, Jurnal Pendidikan UTM. Jilid . Bil 1. (April 1995) : hal. 3.
2Ibid.
3Jevylin Lanjungin, Glorious Patrickians, (Kota Kinabalu : Capital Associates (S)Sdn. Bhd, 2010), hal. 19.
4SM St Patrick, https://ms.wikipedia.org/wik/Sekolah_Menengah_Kebangsaan_St._Patrick,_Sabah, (Diakses pada 23 Januari 2018).
5Opcit.
6Temubual Encik Marinus Lojikip, 28 Febuari 2018.
7Tenubual Puan Dorothy Sinin, 21 Januari 2018.
8Temubual Puan Evaleen Samamjuis, 21 Januari 2018
9Jevylin Lanjungin, Glorious Patrickians, (Kota Kinabalu : Capital Associates (S)Sdn. Bhd, 2010), hal. 20.
10Temubual Encik Marinus Lojikip, 28 Febuari 2018.
11Dunia Pendidikan IPG: Konsep pengajaran dan pembelajaran, http://duniapendidikanipg.blogspot.co.id/2012/10, (Diakses pada 7 Febuari 2018).
12Badrul Hisham, Kesediaan Guru dalam Pengajaran dan Pembelajaran Matematik Berbantukan Komputer (PPBK) di Sekolah Menengah Ipoh (Maktab Perguruan Ipoh, 2000).
13Temubual Puan Zarinah Alisan, 28 Febuari 2018.
14Temubual Puan Evaleen Samamjuis, 21 Januari 2018.
15Media Pembelajaran OHP dan LCD http://zubaidahcute-zubaidah.blogspot.co.id/2012/05/media-pembelajaran-ohp-dan-lcd.html.
16Zhao, Hueyshan, dan Mishar, “Teaching and Learning: Whose Computer Is It?” di dalam Bruce, B.C. (e.d.). “Literacy in the Information Age: Inquires into Meaning with New Technology” (Delaware: International Reading Association, 2000).
17Opcit
18Ambigapathy P dan Suthagar, “Literasi Teknologi Komputer: Persepsi dan Penggunaan di Kalangan Guru.” dalam Pandian, A. (E.D.). “Bahasa dan Literasi Penyelidikan dan Peninjauan untuk Pendidikan.” (Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia, 2003)
191Bestari Net, YTL Communications Sdn. Bhd, Frog VLE, dari http://www.frogasia.com/v2/, (Diakses pada 16 Febuari 2018)
20Temubual Puan Evaleen Samamjuis, 21 Januari 2018.
21Frog Asia, Gambaran Keseluruhan Frog VLE, Manual Pengguna (Guru, Frog VLE Overview (User: Staf ), (Malaysia: Frog Asia Training, 2012)
22Temubual Puan Evaleen Samamjuis, 21 Januari 2018.
23Munir dan Halimah Badioze Zaman , “Aplikasi Multimedia Dalam Pendidikan.” (Pemikir, 2000 Bil. 19).
24 Temubual Puan Evaleen Samamjuis, 21 Januari 2018.
25Temubual Puan Zarinah Alisan, 28 Januari 2018.
26Temubual Puan Dorothy Sinin, 21 Januari 2018.
27Temubual Encik Eming Angkui, 27 Januari 2018.
28Wiburg K , “The Dance of Change : Integrating Technology in Classroom” Computers in School. (13(2) 1997) 171-184.